21/02/2015

Pemuda tentang pemuda

Ingin ku sampaikan isi hati seorang pemuda tentang pemuda.

Pemuda masa depan negara kata mereka.
Pemuda masa depan agama kata mereka.
Golongan pemuda, membawa kemajuan.
Aku pemuda.
Aku percaya.
Aku kira semua orang percaya.

Kata-kata itu bagaikan pembakar semangat.
Ya, kami pemuda inginkan perubahan.
Aku punya cita-cita.

Aku mahu Negara Brunei Darussalam dikenali.
Dikenali sebagai negara yang aman untuk pelbagai agama dan bangsa,
Aku mahu wawasan negara tercapai,
Dan masih mengekalkan identiti Melayu, Islam dan Beraja.
Aku mahu negaraku menjadi sebuah negara Islam yang diredhai Ilahi.

Pemuda. Ya. Pemuda.

Aku mahu...
Pemuda punya arah tuju,
ingin maju.
Tepis kehendak nafsu.
Semua bersatu.

Tetapi...

Ku lihat pemuda kini bagaikan terombang-ambing.
Matlamat dikaburi oleh debu-debu duniawi.
Semangat terbantut dek takut.
Takut dikatakan pemuda kuno.
Hingga sanggup abaikan tanggungjawab terhadap agama dan negara.

Pengecut. Atau ego?

Tidak cukupkah lagi apa yang telah diberi selama ini?
Sampai hati kita buat begini.
Bukankah kita harapan negara?
Kenapa ingin hancurkan harapan semua demi kepentingan diri?

Cukup-cukuplah dengan perkara lagha.
Tidak akan ke mana-mana akhirnya.
Cukup-cukuplah saling tuduh-menuduh, merungut sana-sini.
Cubalah untuk saling memahami.
Jangan sempitkan akal, hati dan diri.
Jadilah individu yang menyelesaikan masalah.
Bukan yang menyempitkan lagi masalah.

Mantapkan peribadi dan akhlak sebelum mengajak,
Agar yang diajak percaya.
Agar kau bersedia sebelum ditempelak.
Mulut orang susah hendak dielak.

Usahlah ulang seribu kali, "kalaulah dulu..."
"kalaulah ini...kalaulah itu..."
Menyesal.
Itu aku tahu.
Itu alasan semata-mata.
Menghalangmu untuk mencapai kemaraan.

Bangkitlah wahai pemuda!
Jangan tunggu disirami air baru mahu terjaga.
Kita mati boleh bila-bila saja!
Nikmat Ilahi jangan kau sia-siakan.

Akulah pemuda itu.
Dan kamu.


~10.2.2015

No comments:

Post a Comment